Anwar akan ambil alih bila tiba masanya- Dr Mahathir



TOKYO: Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi janji menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau memerlukan masa untuk ‘mengemas kini’ pentadbiran dan mengukuhkan ekonomi negara di landasan sewajarnya sebelum menyempurnakan peralihan jawatan kepada Ketua Umum PH dan Presiden PKR itu.
“Persetujuan dalam kalangan pimpinan empat parti dalam PH dicapai sebelum PRU lalu dan mereka memilih saya sebagai calon Perdana Menteri. Turut dipersetujui, saya akan menjadi Perdana Menteri interim dan nama pengganti saya yang dipersetujui ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika itu, beliau masih dalam penjara dan kini sudah menjadi Ahli Parlimen," katanya pada sesi dialog Persidangan Mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) 2019 di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, berkata cabaran terbesar dihadapi ketika ini ialah menangani masalah ekonomi Malaysia sebelum peralihan kuasa dengan antara yang giat dilakukan kerajaan ketika ini ialah mengurangkan pinjaman ke satu tahap supaya duit berkenaan boleh digunakan untuk pembangunan.

“Satu lagi cabaran getir ialah mengubah pemikiran rakyat supaya tidak terlalu bergantung kepada bantuan tunai daripada kerajaan. Memang ada yang tidak suka kerajaan sekarang kerana menghentikan bantuan tunai seperti dilakukan pentadbiran terdahulu yang banyak memberi ‘wang percuma’.

“Kami mengambil alih dengan bebanan hutang yang tinggi. Keadaan kewangan kerajaan tidak begitu baik dan kita tidak boleh memberi mereka wang tanpa sebab," katanya. - BH ONLINE

0 Response to "Anwar akan ambil alih bila tiba masanya- Dr Mahathir"

Post a Comment