Liverpool pilihan juara UCL?



Bola sepak itu adalah permainan yang indah dan ia sekali lagi akan dibuktikan menerusi aksi final Liga Juara-Juara (UCL). Ia merupakan satu pengalaman yang mengujakan peminat di seluruh pelosok dunia; 32 kelab terbaik Eropah berjuang sepanjang musim dan kali ini, dua kelab Inggeris beraksi dalam final merebut gelaran terbaik Eropah.

Liverpool dan Tottenham Hotspur bersedia untuk mempertaruhkan segala kudrat untuk menjulang gelaran dan kita semua sudah dijanjikan dengan penamat yang penuh dramatik.

Liverpool berdepan Bayern Munich dalam pusingan 16 dan The Reds merakamkan kemenangan 3-1 dalam aksi kedua selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama.

Kemudian berdepan FC Porto dalam suku akhir, yang menyaksikan mereka berjuang sehingga wisel penamat.

Selepas tewas 3-0 dalam aksi separuh akhir pertama kepada Barcelona, Liverpool bangkit dengan meledak empat gol di Anfield, sekali gus meleburkan harapan The Catalans merakam kejuaraan di pentas Eropah.

Wanda Metropolitano, Madrid menjadi medan perjuangan buat Liverpool dan Spurs, Ahad ini, dalam pada seluruh dunia sedang ternanti-nanti perlawanan penentu juara itu.

Liverpool tidak bernasib baik apabila terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Manchester City dan mereka dijangka terdesak untuk menjuarai UCL kali keenam sebagai penambat duka mereka.
Musim lalu, The Reds telah dikecewakan Real Madrid dalam aksi final hasil kesilapan penjaga gol, Loris Karius. Mereka akan berusaha untuk tidak mengulanginya kali ini.

Bola sepak telah menyaksikan beberapa trio serangan yang digabung untuk melakar kemenangan. Selepas keajaiban MSN -- (Lionel) Messi, (Luis) Suarez dan Neymar buat Barcelona, kemudian hadirnya BBC -- (Gareth) Bale, (Karim) Benzema dan Cristiano Ronaldo untuk Real Madrid, masa telah tiba untuk trio seterusnya memahat sejarah baru.

Kedua-dua pemain sayap Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah, selesa beraksi bersama Roberto Firmino yang bertindak selaku penyerang tengah Liverpool. Bekas pemain Hoffenheim itu merupakan pilihan terbaik pengurus, Jurgen Klopp, dalam corak permainan "Gegenpress" yang mengutamakan tekanan kepada pihak lawan, serangan balas yang pantas serta membantu pasukan ketika bertahan.

Keupayaan Firmino yang bijak melakukan hantaran sentiasa mengubah permainan dan seorang pemain yang penting buat Klopp.

Sejak menyertai Liverpool, Virgil van Dijk mula membuktikan kebolehannya seiring dengan barisan pertahanan terbaik dunia seperti Sergio Ramos, Gerard Pique, Giorgio Chiellini dan Thiago Silva.
Kebangkitan pertahanan Belanda itu telah membuahkan kejayaan merangkul gelaran Pemain Terbaik PFA bagi musim ini. Keupayaan Van Dijk untuk mengetuai barisan pertahanan dan sentiasa berusaha memastikan gawang tidak dibolosi, menjadikan dirinya seorang pemain yang unik.

Trent Alexander-Arnold menjadi salah seorang pemain sasaran dalam dunia bola sepak buat masa ini. Dia telah menjadi seorang pemain penting Liverpool selepas beberapa musim bersama pasukan. Hantaran silang tepat dan kecergasan tanpa henti sepanjang permainan meletakkan dirinya sentiasa fokus sepanjang permainan.

Melakukan perkara yang sama sebagai pertahanan kiri ialah Andrew Robertson. Kedua-dua pemain ini berfungsi sebagai enjin dan sentiasa bersedia untuk membantu jentera serangan.

Buat masa ini, Alisson dilihat sebagai penjaga gol terbaik dunia dan dia sudah pasti tidak mahu melakukan kesilapan yang sama seperti Karius musim lalu.

Tidak dinafikan, sukar untuk mencari pengurus yang mampu menjadi inspirasi kepada pasukan seperti apa yang dilakukan Klopp. Pengendali itu telah membawa pasukan ke aksi final UCL dua kali berturut-turut dan dia juga telah mengembalikan pasukan itu ke zaman kegemilangan mereka.

Ini bakal menjadi aksi final ketiga buat Klopp. Dia telah merasai pengalaman tewas bersama Borussia Dortmund pada 2013 dan bersama Liverpool musim lalu.

Adakah pemain-pemainnya akan menyerlah kali ini, hanya masa akan menentukan.

0 Response to "Liverpool pilihan juara UCL?"

Post a Comment